Awasi penularan Syiah di universiti
PENULARAN fahaman Syiah nampak seolah tiada apa-apa yang berlaku, tetapi sebenarnya mereka bergerak secara bersembunyi.
Barangkali program dan penerangan yang dibuat oleh pihak jabatan agama
dan jabatan mufti di seluruh negara menyukarkan untuk mereka berkembang
kerana masyarakat mula menyedari kesesatan Syiah.
Walaupun begitu, tidak boleh dipandang ringan kewujudannya di negara
ini kerana doktrin yang disampaikan mudah mempengaruhi dengan
hadis-hadis yang digunakan, seolah-olah menunjukkan benarnya ajaran yang
dibawa Syiah atas nama ‘mencintai ahlul bait’.
Ikuti kupasan lanjut mengenai hal-hal berkaitan Syiah di Malaysia
menerusi wawancara khas Wartawan Sinar Harian, MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
bersama Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah (PUK), ABDULLAH
DIN.
Apakah pandangan ustaz mengenai perkembangan Syiah di Malaysia?
Secara umumnya, apabila ia melibatkan akidah memang serius... memang
bahaya... sebab kalau dadah habis kuat mati saja, tapi yang terlibat
dengan akidah Syiah ini rosak akidah dia walaupun dia orang Islam, anak
kita, cucu kita dan pelajar kita di sekolah. Kalau dia terpengaruh
dengan ajaran Syiah, bermakna akidah dia rosak kerana mempercayai
asas-asas akidah yang salah dan bertentangan.
Cuba bayangkan seseorang itu mengatakan dia Islam, tengok badan sihat
tapi kepercayaan dia kepada Saidina Abu Bakar adalah kafir.. Saidina
Umar juga kafir... dia maki hamun para sahabat nabi dengan menggunakan
pelbagai istilah. Sebenarnya orang-orang ini dah rosak dan akan
menyebabkan orang lain juga akan turut rosak kerana dia.
Jadi bahaya pemikiran Syiah dan akidah tak boleh dipandang kecil. Dia
sangat serius dan kita tak boleh biar masyarakat kita terus terpengaruh.
Tambahan pula di Malaysia yang menyebarkan Syiah ini terdiri daripada
pensyarah-pensyarah yang dinamakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kita boleh tunjuk siapa Syiah di universiti-universiti tempatan dan
siapa Syiah di sekolah-sekolah. Sampai sekarang yang saya sedihnya tak
ada tindakan secara bersungguh-sungguh daripada pihak berkuasa untuk
menyekat pemikiran Syiah daripada berleluasa di negara kita.
Bila Syiah mula masuk ke Malaysia?
Punca kelahiran Syiah di Malaysia ini sejak 1979, apabila kerajaan Iran
(Republik Islam Iran) berjaya diasaskan oleh Ayatullah Khomeini. Dunia
Islam ini dia kagum dengan mana-mana orang yang berwatak agama dan
ulama. Masa itu bukan saja ulama di Malaysia yang kagum terhadap ajaran
Syiah, pertamanya dia kagum dekat Khomeini itu. Bahkan ulama di seluruh
dunia kagum dengan dia, inilah contoh untuk lawan Amerika Syarikat dan
Rusia pada ketika itu.
Tiba-tiba muncul Iran pada waktu itu bawa nama Islam, kata kami nak
memperjuangkan Islam. Jadi pada waktu itu para ulama di seluruh dunia
memberikan ucapan tahniah terhadap penubuhan negara Islam Iran. Sehingga
di Malaysia pada 1980, mereka tubuh kedutaan Iran yang pertama.
Apabila tubuh kedutaan Iran yang pertama, dia mula merekrut orang-orang
kita di kalangan pensyarah-pensyarah universiti, ahli-ahli politik dan
aktivis untuk jadi Syiah. Antara orang yang terlibat di Malaysia yang
bercerita pengalaman peribadi, dulu mereka dibawa ke Iran untuk lihat
Syiah di sana dan cuba direkrut jadi Syiah tapi gagal ialah (Mursyidul
Am Pas) Datuk Dr Haron Din.
Mereka terus usaha daripada saat itulah seorang demi seorang,
orang-orang politik kita, orang-orang agama kita khususnya masuk Syiah.
Dari sini ia berkembang... dari universiti.
Lama kelamaan mereka yang berada di universiti jadi Syiah. Sekarang
jadi pula pengarah jabatan di Kedah dan ada guru di sekolah, jadi hasil
daripada universiti inilah. Sekarang bercambah puak-puak Syiah yang
berada di sana-sini, sebahagiannya kita kenal.
Sejauh mana mudarat Syiah pada negara kita?
Sangat bahaya! Sebab ajaran Syiah dibina asasnya untuk meruntuhkan
ajaran Islam. Di Malaysia, orang-orang Syiah akan baca buku ‘akhirnya ku
temui kebenaran’ dan ‘dialog sunnah Syiah’. Semua buku ini doktrin dia
untuk orang masuk Syiah, mula benci kepada para sahabat nabi kita.
Kesannya kepada Islam apabila orang mula tidak percaya kepada para
sahabat nabi, dia ragu kepada sahabat nabi, kesannya nanti akan tertolak
al-Quran dan Sunnah.
Sebenarnya matlamat dia nak runtuhkan ajaran Islam dengan memulakan
gerakkan supaya masyarakat benci kepada para sahabat nabi dan itu sudah
bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kita bina Ahli Sunnah Wal Jamaah ini atas kecintaan terhadap para
sahabat. Dalam kitab-kitab Ahli Sunnah menekankan pentingnya kita
menyayangi dan mencintai para sahabat nabi, tiba-tiba dia bawa akidah
suruh benci pada sahabat.
Apabila orang mula benci dan tidak percaya para sahabat nabi, akhirnya
runtuhlah agama Islam dan keyakinan umat Islam terhadap Sunnah-sunnah
dan juga ayat al-Quran.
Bagaimana kita boleh kenalpasti seseorang itu Syiah atau Ahli Sunnah?
Kebanyakan mereka masih berselindung. Syiah ini ada ajaran taqiyah
(berselindung). Selalunya orang Syiah tidak berani mengaku dia Syiah,
kalau kita tanya dia akan jawab sebagai Ahli Sunnah.
Pada pengetahuan ustaz juga, di kawasan mana terdapat ramai pengikut Syiah?
Pada pengetahuan saya, orang selalu kata Kedah ramai Syiah. Tapi saya
rasa yang bahaya ialah Selangor dan Wilayah Persekutuan, sebab di sana
banyak pusat pendidikan dan di sana juga ada ramai pelajar daripada
Iran. Jadi sebahagiannya menyebarkan ajaran Syiah melalui kawan-kawan.
Mula-mula mereka akan neutral dulu, mereka akan kata Syiah ini ok dan
tak apa... dari situ dia akan masuk. Bagi saya, Kedah ini tak lah banyak
sangat Syiah, yang kita bimbang di negeri-negeri yang banyak universiti
sebab di situlah orang kita akan didoktrin.
Syiah ini juga berkembang melalui sastera sebab di Malaysia kita ada
penulis-penulis yang walaupun tak mengaku Syiah, tapi orang tahu dia
Syiah. Melalui penulisan novel, kuasa mempengaruhi orang itu hebat.
Siapa baca novel ini dia sanggup tak makan nasi dan habiskan bacaan
dahulu.
Dia akan terpengaruh dengan pemikiran penulisan itu. Kalau penulis itu
berjaya mengutarakan bukti-bukti yang bukan pun kuat dari sudut
saintifik, tapi boleh mempengaruhi jiwa dan emosi dia, dia akan percaya.
Novel-novel ini banyak berunsur percintaan... cukup bahaya.
Apakah yang perlu kerajaan lakukan untuk menangani penularannya?
Saya dah sebut berkali-kali, yang pertama sekali soal peruntukan
undang-undang. Ya... saya tak setuju juga nak tangkap semua pengikut
Syiah sebab ia akan mengakibatkan kesan buruk kepada ekonomi dan
hubungan diplomatik Malaysia dengan Iran dan Iraq.
Kita kena buat usaha-usaha lain, misalnya undang-undang keluarga
berkaitan Syiah. Haramkan perkahwinan Syiah dengan Ahli Sunnah. Kalau
berlaku perkahwinan boleh disabit dengan Syiah, fasakh (pembubaran
perkahwinan).
Macam mana nak bagi ada undang-undang yang salah satu sebab fasakh
ialah berbeza dengan akidah Syiah. Apabila dia maki para sahabat, kita
kena keluarkan dari Islam. Apabila keluar dari Islam, kita boleh fasakh.
Hak tuntutan anak juga, berkali-kali saya ulang. Tapi setakat ini tak
ada negeri yang respons. Buat tak tahu saja, banyak kes yang kita
dengar. Sampai bila nak berlarutan isu ini, dah berkali-kali kita
bangkit di dada akhbar, televisyen dan forum kebangsaan. jabatan agama
dan pihak berkenaan bertindaklah.
ALLAH akan bagi pahala sangat besar kalau kita boleh bantu umat Islam
yang berada dalam kemelut dan masalah anak yang berada dengan mak
ataupun bapa Syiah, sebab tak ada undang-undang yang nak membela mereka.
Isu sembelihan juga, jangan makan sembelihan Syiah. Kena keluarkan
fatwa ini. Tanah kubur juga. Saya ucapkan tahniah kepada pihak
Kementerian Pelajaran khususnya di sektor pendidikan Islam yang banyak
buat usaha untuk mengekang pengaruh Syiah di Malaysia melalui
pembaharuan kokurikulum subjek pendidikan Islam. Kita dah buat, tunggu
buku teks keluar nanti memang akan nampak perubahan yang kita buat.
Masyarakat juga perlu sedar, kena berhati-hati dengan gerakan Syiah.
Kalau dia jadi satu kuasa ekonomi, lagi susah untuk kita tangani puak
ini. Sekarang sudah ada syarikat umrah dan haji, syarikat air, syarikat
jual mee dengan menggunakan nama-nama mirip ahlul bait dan nama-nama
Syiah.
Apakah pandangan ustaz mengenai kenyataan yang dikeluarkan sesetengah ulama mengenai Syiah?
Saya kecewa sebab para ulama tidak sekata dalam isu Syiah. Ada yang
kata sSyiah tak apa... Syiah Islam lagi... tak sesat... sebab para ulama
tak sekata dalam isu ini, masyarakat di bawah akan terus keliru.
Tambahan pula kenyataan yang kata Syiah tak apa daripada tokoh-tokoh
masyarakat yang dihormati sebagai ulama. Para ulama fikirlah sebelum
keluarkan kenyataan. Biar tahu dahulu, jangan tak tahu tapi nak
keluarkan juga. Nanti mengakibatkan kerana sepatah perkataan, sesat.
0 orang berkata:
Post a Comment